CINTA ALLAH CINTA TERINDAH
Hatta kasih ibu sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak
dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya
kepada hati. Kenapa sukar benar untuk mencintai-Nya ? Walaupun fikiran kita
mengiakannya bahawa mencintai Allah itu utama, tetapi hati kita masih berat,
masih sukar merasainya.
Mengapa kita sedegil itu? Mari kita analogikan antara hati dengan
fizikal.
ANALOGI HATI DENGAN FIZIKAL
Dalam keadaan fizikal yang sihat, kita boleh makan dengan
berselera sekali. Dihidangkan dengan ayam goreng, asam pedas atau apa sahaja
masakan yang enak, tentu tekak kita dapat menikmatinya dengan lazat.
Tetapi apa yang terjadi jika kita tiba-tiba jatuh sakit?
Demam, selsema menimpa. Tekak kita pasti terasa pahit, selera kita jadi
‘sempit’. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat mana pun, tekak pasti akan
menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar,
kelat dan meloyakan. Mengapa jadi begitu ? Apakah makanan itu yang berubah rasa
atau tekak kita yang berubah selera ? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi
apabila fizikal kita sakit, selera kita akan pahit.
Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah.
Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah, tetapi hati
kita yang sakit.
Hati yang sakit tidak akan menikmati keindahan cinta Allah seperti fizikal yang
sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Itulah ukuran tahap ‘kesihatan’
hati kita.
Rupa-rupanya dalam kehidupan, ramai manusia yang ‘sakit’
hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, maka itulah tandanya hati kita
sedang menderita kesakitan. Malah ‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya
berbanding sakit fizikal.
Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita hanya
didunia, tetapi sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita
menderita didunia dan akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian,
tetapi ‘sakit’ hati menyebabkan kita akan menderita selama-lamanya diakhirat.
Kenapa hati kita tidak lagi bergetar dengan cinta Allah ?
bukankah cinta Allah itu fitrah ? Sebelum itu, mari kita bayangkan seorang anak
yang sejak kecil lagi sudah dipisahkan daripada ibu kandungnya. Anak itu
dipelihara oleh ibu angkat.
Namun saat usia anak menginjak dua puluh tahun, tiba-tiba
dia mengetahui yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja. Dia pun mencari ibu
kandungnya. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya.
Akhirnya, si anak bertemu dengan ibu kandungnya dengan
ditemani oleh ibu angkatnya. Agak-agak pada ketika itu, siapakah yang lebih
dikasihi oleh si anak ? Ibu kandungnya yang telah terpisah sekian lama atau ibu
angkatnya yang telah memeliharanya selama ini ?
Anda pasti setuju kalau saya katakan, hati si anak akan
lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selamadua puluh tahun
berbanding ibu kandungnya yang baru dikenali pada hari pertemuan itu.
Walaupun dari segi logik dan rasionalnya, ibu kandung perlu
dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan si anak tidaklah
begitu. Cinta bukan paksaan. Cinta bukan pemikiran. Tetapi ia soal rasa, datang
dengan sendirinya.
Kenapa sayang dan cinta si anak tak mahu bertukar walaupun
dia patut merasa begitu ?
Kenal
Allah dari Alam Roh
Maka begitulah halnya dengan hati kita, sebenarnya, sejak
dialam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita.
Allah berfirman : ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu ? Maka semua
(roh manusia) menjawab, ‘Benar (engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.’ (Surah
Al-a’raf 7:172)
Dialam roh lagi kita mengenal Allah. Bahkan telah
mengakuinya sebagai Tuhan kita. Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana
siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan mencintainya. Namun perlu diingat,
mengenal dan mengetahui dengan akal.
Sebenarnya, hati kitalah yang telah mengenal Allah di alam
arwah dahulu bukan akal kita. Di situlah bermulanya cinta sejati iaitu cinta
Allah.
Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati
itu sebaik sahaja mereka lahir kedunia. Malah, sejak itu tempat cinta sejati di
hati kita telah diambil oleh cinta angkat.
Namun, siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah ?
Sedih, seringkali yang memisahkan manusia daripada cinta Allah ialah ibu bapa
mereka sendiri. Ibu bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.
Akibat Benih Cinta Allah Terbiar
Konsep didikan yang bertitik tolakan ‘awal-awal agama ialah
mengenal Allah’ tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri
terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Akibatnya, kita kenal ‘selain Allah’. Maka
cinta kita pun beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh Nabi s.a.w : ‘Tiada
seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan diatas fitrah. Lalu kedua
orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.’ (Riwayat
Bukhari)
Bermula dari situlah perpisahan dengan cinta Allah bermula.
Makin bertambah usia makin bertambah jarak perpisahan itu. Puluhan tahun si
anak dibuai oleh cinta makhluk dan cinta dunia. Hati, pemikiran,perasaan bahkan
jiwa telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada “cinta angkat” itu.
“Cinta angkat itu lah yang mendodoikannya sejak dia dalam
kandungan ibu, di dalam buaian ,di rumah , di sekolah dalam masyarakat dan di
seluruh persekitarannya, pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan
berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa “cinta
angkat” itulah cinta sejati kita.
Pengubat Hati Mencari Cinta Sejati
Lalu bagaimana mahu mencari cinta sejati? Ada yang
menemuinya, tetapi hati masih gagal merasai. Maka ketika itu rawatlah hati
dengan kembali kepada Allah.
Hati yang dekat kepada Allah akan sihat dan tenang semula.Ia
telah kembali kepada fitrahynya. Namun jalan ke situ bukan mudah. Penawarnya
pahit, tetapi semua itu perlu ditempuhi jua.
BERPANTANG
JIka sakit fizikal pun ada pnatang larangan begitulah juga
sakit hati, ia juga perlu berpantang – berpantang daripada perkara-perkara yang
boleh menimbulkan nafsu.
Contohnya elakkan daripada melibatkan diri dengan
perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas,program hiburan yang
melampau, dan suasana lain yang boleh merangsang hawa nafsu.
HADIRI MAJLIS ILMU
Bagaiman cara berpantang ? Lazimilah diri dengan menghadiri
majlis ilmu, ilmu ialah cahaya hati, majlis ilmu ialah ‘taman syurga’ didunia.
Meraih cinta sejati dan mengubat hati perlu melalui pengajian, pembacaan,
tarbiah para ulama’,renungan dan pemikiran.
Kata ulama’, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama
40 hari ‘sesetengah mengatakan 7 hari’, maka hatinya akan keras.
Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga seperti mana
pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Terangi hati yang gelap dengan
cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengenal Allah dengan lebih ekat, lalu
kembali mencintai –Nya sepenuh hati.
PRAKTIKKAN ILMU
Ilmu seperti imam, manakala amal adalah makmumnya. Kerana
itu ilmuperlu diamalkan. Ubat hati yang paling mujarab adalah zikrullah. Maka
lembutkanlah hati yang keras dengan mengingati Allah. Cara yang paling utama
adalah mendirikan solat.
Solat itu menghubungkan antara hamba dengan tuhan.fahami
makna bacaan,hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa itu ke dalam hati.
Walau susah sungguh,tetapi
paksalah diri untuk bersungguh.sedangkan merebut cinta makhluk pun susah,apatah
lagi mencari cinta allah.
Namun ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar untuk
merasa kemanisannya diperingkat awal, tetapi kemanisannya pasti dating juga
jika kita berterusan mengamalkannya. Ingatlah selalu kata-kata ini : “
Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis ”
CARI KUMPULAN YANG BAIK
Agar diri sentiasa mempraktikkannya dan melazimi perkara baik,
kita perlu duduk bersama kumpulan yang baik. Bila berkumpulan, maka tentunya
program berjalan. Antara program soleh yang boleh diatur termasuklah membaca
dan mengkaji buku-buku agama, mendengar kuliah tafsir, membingcangkan
kepentingan semasa seperti ekonomi, politik dan social, serta melakukan
aktiviti riadhah dan rehlah bersama.
Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang
boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti. Maka akhirnya terbentuklah
suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi dengan
pembaikan diri. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’.
Dengan adanya program-program ini, pantang larang dalam
usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan tolong mengingatkan.
Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan.
Inilah sebahagian langkah untukmengubat ‘sakit hati’ dalam
kalangan remaja masa kini.
Oleh itu, takutlah kepada kemurkaan Allah. Carilah keredhaan
Allah ketika didunia lagi. Diakhirat nanti, bukan tempat untuk berbuat amal.
Tetapi alam akhirat adalah tempat kita diperlihatkan kebaikan mahupun kejahatan
walau sebesar zarahpun.
Sebab itu, berusahalah mencari cinta sejati ini , InsyaAllah
ketenangan akan mendekati hati !
~ Ustaz Pahrol Mohamad Juoi