Thursday, February 19, 2015

Cinta Allah Cinta Terindah

CINTA ALLAH CINTA TERINDAH
Hatta kasih ibu sejati itupun hanya ‘sekelumit’ jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati. Kenapa sukar benar untuk mencintai-Nya ? Walaupun fikiran kita mengiakannya bahawa mencintai Allah itu utama, tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.
Mengapa kita sedegil itu? Mari kita analogikan antara hati dengan fizikal.
 

ANALOGI HATI DENGAN FIZIKAL

Dalam keadaan fizikal yang sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Dihidangkan dengan ayam goreng, asam pedas atau apa sahaja masakan yang enak, tentu tekak kita dapat menikmatinya dengan lazat.
Tetapi apa yang terjadi jika kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam, selsema menimpa. Tekak kita pasti terasa pahit, selera kita jadi ‘sempit’. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat mana pun, tekak pasti akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat dan meloyakan. Mengapa jadi begitu ? Apakah makanan itu yang berubah rasa atau tekak kita yang berubah selera ? Tidak, makanan tetap sedap. Tetapi apabila fizikal kita sakit, selera kita akan pahit.
Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah, tetapi hati kita yang sakit.


Hati yang sakit tidak akan menikmati  keindahan cinta Allah seperti fizikal yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Itulah ukuran tahap ‘kesihatan’ hati kita. 



Bila Hati Sakit

Rupa-rupanya dalam kehidupan, ramai manusia yang ‘sakit’ hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Malah ‘sakit’ hati ini lebih buruk akibatnya berbanding sakit fizikal.

Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita hanya didunia, tetapi sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita didunia dan akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi ‘sakit’ hati menyebabkan kita akan menderita selama-lamanya diakhirat.

Cinta Bukan Paksaan

Kenapa hati kita tidak lagi bergetar dengan cinta Allah ? bukankah cinta Allah itu fitrah ? Sebelum itu, mari kita bayangkan seorang anak yang sejak kecil lagi sudah dipisahkan daripada ibu kandungnya. Anak itu dipelihara oleh ibu angkat.
Namun saat usia anak menginjak dua puluh tahun, tiba-tiba dia mengetahui yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja. Dia pun mencari ibu kandungnya. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya.

Akhirnya, si anak bertemu dengan ibu kandungnya dengan ditemani oleh ibu angkatnya. Agak-agak pada ketika itu, siapakah yang lebih dikasihi oleh si anak ? Ibu kandungnya yang telah terpisah sekian lama atau ibu angkatnya yang telah memeliharanya selama ini ?
Anda pasti setuju kalau saya katakan, hati si anak akan lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selamadua puluh tahun berbanding ibu kandungnya yang baru dikenali pada hari pertemuan itu.

Walaupun dari segi logik dan rasionalnya, ibu kandung perlu dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan si anak tidaklah begitu. Cinta bukan paksaan. Cinta bukan pemikiran. Tetapi ia soal rasa, datang dengan sendirinya.
Kenapa sayang dan cinta si anak tak mahu bertukar walaupun dia patut merasa begitu ?

Kenal  Allah dari Alam Roh

Maka begitulah halnya dengan hati kita, sebenarnya, sejak dialam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita.

Allah berfirman : ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu ? Maka semua (roh manusia) menjawab, ‘Benar (engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi.’ (Surah Al-a’raf 7:172)

Dialam roh lagi kita mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya sebagai Tuhan kita. Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Kerana siapa sahaja yang kenal Allah, pasti akan mencintainya. Namun perlu diingat, mengenal dan mengetahui dengan akal.

Sebenarnya, hati kitalah yang telah mengenal Allah di alam arwah dahulu bukan akal kita. Di situlah bermulanya cinta sejati iaitu cinta Allah.

Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir kedunia. Malah, sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh cinta angkat.

Namun, siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah ? Sedih, seringkali yang memisahkan manusia daripada cinta Allah ialah ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa tidak mengenalkannya kepada Allah.

Akibat Benih Cinta Allah Terbiar

Konsep didikan yang bertitik tolakan ‘awal-awal agama ialah mengenal Allah’ tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diairi. Akibatnya, kita kenal ‘selain Allah’. Maka cinta kita pun beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh Nabi s.a.w : ‘Tiada seorang bayi pun yang lahir melainkan dia dilahirkan diatas fitrah. Lalu kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.’ (Riwayat Bukhari)

Bermula dari situlah perpisahan dengan cinta Allah bermula. Makin bertambah usia makin bertambah jarak perpisahan itu. Puluhan tahun si anak dibuai oleh cinta makhluk dan cinta dunia. Hati, pemikiran,perasaan bahkan jiwa telah diserah seluruh dan sepenuhnya kepada “cinta angkat” itu.

“Cinta angkat itu lah yang mendodoikannya sejak dia dalam kandungan ibu, di dalam buaian ,di rumah , di sekolah dalam masyarakat dan di seluruh persekitarannya, pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada  ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa “cinta angkat”  itulah cinta sejati  kita.

Pengubat  Hati Mencari Cinta Sejati

Lalu bagaimana mahu mencari cinta sejati? Ada yang menemuinya, tetapi hati masih gagal merasai. Maka ketika itu rawatlah hati dengan kembali kepada Allah.
Hati yang dekat kepada Allah akan sihat dan tenang semula.Ia telah kembali kepada fitrahynya. Namun jalan ke situ bukan mudah. Penawarnya pahit, tetapi semua itu perlu ditempuhi jua.



BERPANTANG

JIka sakit fizikal pun ada pnatang larangan begitulah juga sakit hati, ia juga perlu berpantang – berpantang daripada perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu.
Contohnya elakkan daripada melibatkan diri dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas,program hiburan yang melampau, dan suasana lain yang boleh merangsang hawa nafsu.

HADIRI MAJLIS ILMU

Bagaiman cara berpantang ? Lazimilah diri dengan menghadiri majlis ilmu, ilmu ialah cahaya hati, majlis ilmu ialah ‘taman syurga’ didunia. Meraih cinta sejati dan mengubat hati perlu melalui pengajian, pembacaan, tarbiah para ulama’,renungan dan pemikiran.
Kata ulama’, siapa yang tidak menghadiri majlis ilmu selama 40 hari ‘sesetengah mengatakan 7 hari’, maka hatinya akan keras.

Walaupun berat kaki melangkah, gagahilah juga seperti mana pesakit yang terpaksa menelan ubat yang pahit. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Dengan ilmu kita dapat mengenal Allah dengan lebih ekat, lalu kembali mencintai –Nya sepenuh hati.

PRAKTIKKAN ILMU

Ilmu seperti imam, manakala amal adalah makmumnya. Kerana itu ilmuperlu diamalkan. Ubat hati yang paling mujarab adalah zikrullah. Maka lembutkanlah hati yang keras dengan mengingati Allah. Cara yang paling utama adalah mendirikan solat.

Solat itu menghubungkan antara hamba dengan tuhan.fahami makna bacaan,hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa itu ke dalam hati.                 
                                                                                                             Walau susah sungguh,tetapi paksalah diri untuk bersungguh.sedangkan merebut cinta makhluk pun susah,apatah lagi mencari cinta allah.

Namun ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar untuk merasa kemanisannya diperingkat awal, tetapi kemanisannya pasti dating juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingatlah selalu kata-kata ini : “ Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis ”    

CARI KUMPULAN YANG BAIK

Agar diri sentiasa mempraktikkannya dan melazimi perkara baik, kita perlu duduk bersama kumpulan yang baik. Bila berkumpulan, maka tentunya program berjalan. Antara program soleh yang boleh diatur termasuklah membaca dan mengkaji buku-buku agama, mendengar kuliah tafsir, membingcangkan kepentingan semasa seperti ekonomi, politik dan social, serta melakukan aktiviti riadhah dan rehlah bersama.

Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti. Maka akhirnya terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi dengan pembaikan diri. Ingat, musuh orang muda adalah ‘masa lapang’.
Dengan adanya program-program ini, pantang larang dalam usaha menyembuhkan hati yang sakit dapat dijaga. Ada kawan tolong mengingatkan. Ada program yang menyibukkan. Ada suasana yang mencorakkan.

Inilah sebahagian langkah untukmengubat ‘sakit hati’ dalam kalangan remaja masa kini.
Oleh itu, takutlah kepada kemurkaan Allah. Carilah keredhaan Allah ketika didunia lagi. Diakhirat nanti, bukan tempat untuk berbuat amal. Tetapi alam akhirat adalah tempat kita diperlihatkan kebaikan mahupun kejahatan walau sebesar zarahpun.
Sebab itu, berusahalah mencari cinta sejati ini , InsyaAllah ketenangan akan mendekati hati !              

~ Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

No comments:

Post a Comment